Thursday, 6 June 2013

CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG BAIK DALAM SESEBUAH ORGANISASI

CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG BAIK DALAM SESEBUAH ORGANISASI
1.0  PENGENALAN
Kepemimpinan adalah merupakan satu topik yang diminati kerana ia menyentuh  kehidupan masyarakat dunia tanpa mengira budaya, sama ada dalam masyarakat  primitif atau sebaliknya. Ia juga diminati kerana kepemimpinan membawa kuasa, kedinamikan dan kejayaan individu dalam lapangan masing-masing. Kepemimpinan juga menjadi penting kerana kita boleh memilih sesiapa sahaja untuk dijadikan pemimpin tetapi kita tidak boleh memilih untuk tidak mempunyai pemimpin.
Seperti mana yang kita ketahui kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada prestasi pentadbirnya dalam erti kata lain yang memimpin. Seseorang pemimpin yang baik harus mempunyai ciri-ciri khusus tertentu dalam menjalankan peranannya sebaik mungkin serta menguasai kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk mengelola ahli-ahli di bawah untuk mencapai matlamat organisasi. (Zainal Abidin Mohamad, 1998).    
Kejayaan sesebuah organisasi bergantung ke atas prestasi kolektif pentadbirnya, iaitu orang yang mengarah kerja dan memimpin kakitangan keseluruhannya. Pemimpin (atau Ketua Jabatan) secara bersendirian mesti mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada rakan sejawatnya kerana proses kepimpinan memang melibatkan dua orang atau lebih. (Fatimah Wati Halim & Iran Herman, (1997).
Selain itu, pemimpin juga membawa maksud seorang daripadanya cuba membimbing dan mendorong yang lain dalam usaha mencapai matlamat sistem. Apabila seseorang itu berjaya memimpin, ini bermakna dia berjaya mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam organisasi itu. Kebolehan mempengaruhi bergantung kepada unsur yang penting iaitu kuasa yang ada pada seseorang itu.
Seperti mana yang umum ketahui sejak dari awal kajian dibuat tentang sains pengurusan, terdapat beberapa pendekatan yang digariskan dalam membuat penilaian ke atas ciri-ciri pemimpin. Kepemimpinan menjadi penting kerana ia sering dikaitkan dengan keberkesanan dan kecekapan sesebuah organisasi termasuklah sekolah. Berasaskan premis inilah maka timbulnya slogan: "Pemimpinlah yang menjadikan organisasi itu berbeza dengan yang lain".
Mengikut Dr Robiah Sidin (1988), dalam bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’, beliau menegaskan bahawa secara umumnya ada dua jenis kuasa yang boleh dipegang oleh seseorang pemimpin itu iaitu yang pertama, kuasa yang datang dengan jawatannya di dalam organisasi itu dan kedua, kuasa yang berpunca daripada keadaan dirinya sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang bersangkut paut dengan jawatan adalah penting kerana memberi kepercayaan kepada anggota-anggotanya. Walaubagaimanapun untuk seseorang itu kekal menjadi pemimpin dia mesti juga mempunyai kuasa yang berunsurkan kebolehan tersendirinya. (Dr Robiah Sidin (1988).

2.0  CIRI-CIRI PERSONALITI YANG DIKAITKAN DENGAN SEORANG PEMIMPIN
Terdapat beberapa personaliti yang sering dikaitka dengan seorang pemimpin. Personaliti berikut ialah;
•      Keyakinan kendiri
            Merujuk kepada sejauh manakah individu itu berasa selesa dengan pertimbangan, keupayaan dan kemahirannya. Individu yang tidak berkeyakinan tidak suka menanggung risiko dan berasa tidak selesa apabila terpaksa membuat keputusan. Pemimpin yang berkeyakinan lebih berjaya berbanding dengan pemimpin yang rendah keyakinan kendiri.


•      Bertanggungjawab
            Individu yang bertanggungjawab cenderung melaksanakan kerjaya dengan penuh hati-hati dan bersedia mematuhi peraturan yang ditetapkan. Sifat ini sering dikaitkan dengan kejayaan seseorang pemimpin.
•      Penyesuaian
            Merujuk kepada ketahanan dan keupayaan emosi menghadapi tekanan, konflik, dan kekecewaan. Pemimpin yang berupaya mengharungi rintangan-rintangan ini adalah lebih berkesan mberbanding dengan pemimpin yang tidak boleh menyesuaikan diri dalam keadaan tertekan
•      Suka bergaul/ramah
            Sifat ini juga disebutkan sebagai penting dalam kejayaan kepemimpinan kerana orang yang suka bergaul biasanya memperolehi banyak pengalaman dan mudah mempengaruhi orang-orang dalam organisasinya.
•      Dapat diterima
            Merujuk kepada sifat amanah, mudah bekerjasama, mesra, dan sopan. Orang seperti ini mudah bekerjasama dengan orang lain. Manakala sifat orang yang sukar diterima, biasanya tidak sabar, muram, syak wasangka, dan sukar bekerjasama dengan orang lain.
•      Berorientasi Pencapaian
            Individu yang berorientasi pencapaian berusaha melaksanakan tugas dengan jayanya kerana individu ini akan hanya berasa puas jika ia beroleh kejayaan. Individu seperti ini cenderung bekerja keras, bercita-cita tinggi dan suka persaingan. Manakala orang yang rendah orientasi pencapaian adalah tidak bercita-cita tinggi, suka dengan keadaan yang sedia ada, dan pasif serta usaha-usahanya adalah sedikit, kecuali jika ia dijanjikan ganjaran ekstrinsik.


3.0  CIRI-CIRI YANG BAIK MENGIKUT PADANGAN TOKOH TERKEMUKA
Mengikut pandangan tokoh Islam daripada Al Mawardi menyatakan bahawa seorang pemimpin perlu mempunyai sifat seorang yang adil dalam memimpin pekerja di dalam organisasi tersebut. Seorang pemimpin juga perlulah seorang yang berfikiran matang dan berani berijtihad dalam melakukan tugasnya. Seorang pemimpin juga menurut Al Mawardi perlulah berpancaindera yang sempurna. Ianya juga perlu mempunyai ilmu agama yang tinggi. Hal ini kerana dengan adanya ilmu agama yang tinggi secara tidak langsung dapat mengelakkan seorang pemimpin daripada melakukan perkara yang mungkar dan seorang pemimpin juga perlu mempunyai anggota badan yang sempurna supaya boleh menguruskan pekerjaannya dengan sempurna. (Ahmad Ibrahim Abu Sin, (1991).
Manakala  menurut Imam Al-Ghazali menyatakan seorang pemimpin perlulah  seorang yang hidupnya dengan cara sederna tidak terlalu membazir dengan harta yang dimiliki olehnya. Seorang pemimpin juga perlulah melaksanakan kerja dengan tenang tanpa merungut dengan pekerjaan yang dilakukanna. Dia juga harus cuba memuaskan semua pihak jika hal itu tidak melanggar undang-undang dan peraturan. Seorang pemimpin juga menurut Imam Al-Ghazali perlulah mempunyai sifat kesedaran akan tanggungjawab besar jawatannya. Seorang pemimpin juga perlulah seorang yang suka bersahabat dengan para ilmuan dan mendengar arahan para ilmuan tersebut. Hal ini keran supaya seorang pemimpin tersebut tidak melanggar undang-undang yang telah digariskan dalam Islam ataupun tidak terpesong daripada landasan agama Islam yang telah ditetapkan oleh syarak. (Ahmad Ibrahim Abu Sin, (1991).



Manakala menurut pandangan daripada tokoh barat iaitu Edwin Ghiselli menyatakan bahawa seorang pemimpin perlulah mempunyai sifat kesungguhan dan keyakinan kepada diri sendiri. Tanpa sifat kesungguhan dan keyakinan dalam diri sendiri boleh menyebabkan sesebuah organisasi tidak akan berjalan dengan baik. Begitu juga dengan kecerdasan yang terlalu tinggi atau kecerdasan yang terlalu rendah akan mengurangkan keberkesanan memimpin. (Mustafa Hj. Daud, (1996).
Selain itu, menurut pandangan tokoh Barat lainnya iaitu Ralph M. Stogdill, seorang pemimpin perlulah bersifat kecerdasan dan kemampuan juga bijak, matang, mempunyai harta sebagai modal supaya seorang pemimpin tersebut dapat menguruskan organisasinya dengan baik. Seorang pemimpin juga perlu adanya sifat sosial iaitu dimana mempunyai daya kerjasama, kemampuan berkomunikasi dan berkebolehan untuk bermasyarakat. (Mustafa Hj. Daud, (1996).
Selain itu, seorang pemimpin juga seharusnya mempunyai sifat keperibadian iaitu dimana berkebolehan, agresif dan berkeyakinan tinggi dalam menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin. (Mustafa Hj. Daud, (1996).

4.0  PERANAN PEMIMPIN
Pemimpin diamanahkan untuk menerajui organisasi bagi kepentingan semua ahli. Pemimpin dipilih dan dilantik kerana kelebihan-kelebihan tertentunya yang dikira dapat membantu organisasi, antaranya memainkan peranan-peranan penting mewakili organisasi. Oleh itu jelas seseorang pemimpin memainkan beberapa peranan secara serentak. Peranan-peranan berikut adalah seperti; 
4.1 Sumber rujukan: pemimpin berperanan sebagai pemberi maklumat dan idea kepada ahli-ahli apabila diperlukan. Oleh itu pemimpin harus luas pembacaannya, sentiasa mengikuti perkembangan, mempunyai hubungan yang luas, banyak pengalaman dan rajin belajar
4.2 Model: sebagai model atau contoh, pemimpin memperlihatkan sifat-sifat, tingkah laku dan kebolehan yang boleh diteladani.
4.3 Pendorong: pemimpin juga harus sentiasa meransang dan mendorong ahli-ahli dan rakan-rakan sepimpinannya untuk membangun diri, meningkatkan komitmen dan terus gigih memberikan khidmat serta subangan untuk kebaikan bersama.
4.4 Pembimbing: selaku pembimbing pemimpin turut mendidik, menyokong dan membolehkan ahli berperanan dengan aktif. Belajar memahami potensi dan bakat, minat dan kecenderungan, serta kekuatan dan kelemahan ahli dan membantu mereka untuk menjadi ahli yang aktif dan menyumbang      
4.5 Jurucakap/jurubicara: peranan ini menyerupai peranan “pegawai perhubungan awam”.  Iaitu berperanan sebagai jurucakap atau wakil organisasi dalam perhubungan dengan pihak-pihak luar.
4.6 Orang tengah: jika berlaku perbezaan pendapat, konflik antara ahli-ahli pemimpin berperanan sebagai orang tengah bagi mencari pendamaian. Bersikap adil dan tidak condong(bias) kepada mana-mana pihak. 
Disamping memainkan peranan-peranan seperti di atas, di dalam sesuatu keadaan tertentu pemimpin juga turut berperanan sebagai pakar (berdasarkan kemahiran dan pengelaman yang dimilikinya) guru, penyelaras, mentor, kaunselor, ideologi, penilai dan sebagainya.  

Sejarah Awal Pengurusan

Sejarah Awal Pengurusan
Secara umumnya sejarah pengurusan bermula seiring dengan perkembangan manusia dari sebuah keluarga yang besar dan membentuk sebuah perkampungan dan komuniti yang melibatkan pengurusan kawasan setempat dan akhirnya pembentukan dan pengurusan sebuah negara bangsa.
Mana-mana tamadun yang wujud di dunia pasti dikaitkan dengan sistem pentadbiran dan kaedah pemerintahan yang membolehkan ketua negara dan dinastinya meneruskan kesinambungan sebuah tamadun hingga ke saat akhirnya. Dengan adanya sistem pengurusan mereka mampu menguruskan perbendaharaan serta mengawal hasil mahsul negara, mengekalkan keadilan dengan pengurusan sistem dan badan kehakiman dan pengurusan ke atas upacara keagamaan atau adat istiadat rasmi di istana.
Seawal 8000 SM para paderi dari Ur telah menyimpan rekod aktiviti perniagaan, rekod lain dan peraturan pengurusan di atas kepingan tanah liat yang dibakar. Tamadun Sumeria mempunyai sistem demokrasi yang amat tersusun berdasarkan teks-teks yang ditemui di Telloh (Lagash) dab Fara (Shurappak). Sumber tenaga kerja didaftarkan dan kemudian dibahagi-bahagikan dalam pelbagai badan awam. (Sivachandralingam & Ayadurai)
Raja Hammurabi dari Babylon pula memperkenalkan kod Hammurabbi yang mengandungi 285 undang-undang yang turut merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan peraturan pengurusan, perdagangan dan kewangan.
Di Mesir, dinasti yang memerintah kerajaan Mesir Tua dengan diketuai oleh Fir’aun dan pembesar-pembesarnya menyimpan rekod pengurusan pembinaan pyramid, sphinx dan pelbagai kompleks makam mereka di atas daun papyrus yang telah diproses. Pembinaan piramid setinggi 20 hingga 25 tingkat dengan 2.5 juta blok batu ini memerlukan sistem pengurusan yang cekap dan sistematik untuk menguruskan kira-kira 100 000 orang pekerja setiap masa.
Sistem pengurusan Negara kota dalam Tamadun Yunani pula mempamerkan sistem pentadbiran Negara yang tersusun. Plato mengutarakan pendapatnya dalam bukunya ‘Law’, bahawa setiap kota secara idealnya mempunyai 5040 orang. Athens yang merupakan salah satu negara kota Yunani yang terkenal ditadbir berdasarkan sistem ala republik. Pemerintahan Athens dikendalikan oleh 3 buah institusi iaitu Dewan Perhimpunan, Majlis, Majistret & Juri. (Sivachandralingam & Ayadurai)
Maharaja Diolectian dari Rom (248M) telah menyusun semula pentadbiran Rom bagi membolehkannya mengawal keseluruhan empayar Rom yang luas dan terbentang dari Asia Barat hingga ke Eropah. Melalui kaedah pengurusannya, beliau membahagi-bahagikan empayarnya kepada beberapa daerah dan diketuai oleh seorang gabenor. Gabenor ini diberikan kuasa pemerintahan yang melibatkan hal-ehwal awam kecuali kuasa ketenteraan dan model Diolectian ini mirip sistem organisasi dan kerajaan berpusat. (Jaafar, Mohd Hizam & Zafir)
Tokoh-Tokoh Pemikir Dalam Bidang Pengurusan
Tokoh-tokoh awal yang menyumbang idea tentang pengurusan dengan mengutarakan pendapat yang menyatakan bahawa menjadi satu perkara yang umum bagi mana-mana pemimpin pada zaman itu memimpin organisasi mereka secara autokratik. Misalnya Adam Smith dalam bukunya ‘The Wealth of Nation (1776) memberikan sumbangan dan pandangannya terhadap konsep pengurusan ekonomi dan sains politik. Charles Babbage memperkenalkan prinsip pembahagian dan pengkhususan kerja melalui pengeluaran produk melalui jabatan-jabatan yang dikhususkan dengan fungsi tertentu dan mengutarakan idea penubuhan ‘line of production’ dengan penetapan fungsi kerja yang rutin.
Para pengkaji bidang pengurusan pasti biasa dengan seorang tokoh bernama Frederick Taylor yang digelar bapa pengurusan saintifik. Antara karya Frederick Taylor mengenai pengurusan yang terkenal adalah Shop Management (1912), Principles of Scientific Management dan pernah membentangkan testimoninya di hadapan Jawatankuasa Dewan Khas pada tahun 1912 (Harold Koontz & Heinz Weirich). Frederick Taylor memperkenalkan sistem ganjaran bagi pekerja yang telah memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh organisasi masing-masing. Melalui konsep pengurusan yang diperkenalkan oleh Frederick Taylor, pekerja yang tidak memenuhi piawaian dan sasaran yang ditetapkan akan disingkirkan dari sistem kitaran kerja setelah berada dibawah pengawalan dalam jangka masa tertentu . Frederick Taylor turut memperkenalkan sistem waktu rehat berjadual bagi membantu mengurangkan kepenatan bekerja.
Henry Gantt pula membuat kajian ke atas teori yang diperkenalkan oleh Frederick Taylor dan mendapati teori ini kurang memberikan penekanan terhadap aspek kemanusiaan. Henry Gantt yang terkenal dengan sistem Carta Gantt memberikan penekanan terhadap perincian dalam jadual tugasan dan amat relevan hingga kini bagi membolehkan pengurusan menetapkan sasaran dan tarikh akhir (date-line) bagi setaip tugasan. Henry Gantt turut memperkenalkan sistem bonus bagi pekerja yang melepasi sasaran tugasan yang ditetapkan secara harian. Beliau turut menekankan kepentingan latihan dala memahirkan kakitangan dalam menjalankan tugas.