CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG BAIK DALAM SESEBUAH
ORGANISASI
1.0 PENGENALAN
Kepemimpinan adalah merupakan satu topik yang diminati
kerana ia menyentuh kehidupan masyarakat
dunia tanpa mengira budaya, sama ada dalam masyarakat primitif atau sebaliknya. Ia juga diminati
kerana kepemimpinan membawa kuasa, kedinamikan dan kejayaan individu dalam
lapangan masing-masing. Kepemimpinan juga menjadi penting kerana kita boleh
memilih sesiapa sahaja untuk dijadikan pemimpin tetapi kita tidak boleh memilih
untuk tidak mempunyai pemimpin.
Seperti mana yang kita ketahui kejayaan
sesebuah organisasi bergantung kepada prestasi pentadbirnya dalam erti kata
lain yang memimpin. Seseorang pemimpin yang baik harus mempunyai ciri-ciri
khusus tertentu dalam menjalankan peranannya sebaik mungkin serta menguasai
kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk mengelola ahli-ahli di bawah untuk
mencapai matlamat organisasi. (Zainal Abidin Mohamad, 1998).
Kejayaan sesebuah organisasi bergantung ke atas prestasi
kolektif pentadbirnya, iaitu orang yang mengarah kerja dan memimpin kakitangan
keseluruhannya. Pemimpin (atau Ketua Jabatan) secara bersendirian mesti
mendapatkan kerjasama secara sukarela daripada rakan sejawatnya kerana proses
kepimpinan memang melibatkan dua orang atau lebih. (Fatimah Wati Halim & Iran Herman, (1997).
Selain itu, pemimpin juga membawa maksud
seorang daripadanya cuba membimbing dan mendorong yang lain dalam usaha
mencapai matlamat sistem. Apabila seseorang itu berjaya memimpin, ini bermakna
dia berjaya mempengaruhi anggota-anggota yang lain di dalam organisasi itu.
Kebolehan mempengaruhi bergantung kepada unsur yang penting iaitu kuasa yang
ada pada seseorang itu.
Seperti mana yang umum ketahui sejak dari
awal kajian dibuat tentang sains pengurusan, terdapat beberapa pendekatan yang
digariskan dalam membuat penilaian ke atas ciri-ciri pemimpin. Kepemimpinan
menjadi penting kerana ia sering dikaitkan dengan keberkesanan dan kecekapan sesebuah organisasi
termasuklah sekolah. Berasaskan premis inilah maka timbulnya slogan:
"Pemimpinlah yang menjadikan organisasi itu berbeza dengan yang
lain".
Mengikut Dr Robiah Sidin
(1988), dalam bukunya ‘Asas Pentadbiran Pendidikan’, beliau menegaskan bahawa
secara umumnya ada dua jenis kuasa yang
boleh dipegang oleh seseorang pemimpin itu iaitu yang pertama, kuasa yang
datang dengan jawatannya di dalam organisasi itu dan kedua, kuasa yang berpunca
daripada keadaan dirinya sendiri atau kuasa individu. Kuasa yang bersangkut paut dengan jawatan adalah penting kerana memberi
kepercayaan kepada anggota-anggotanya. Walaubagaimanapun untuk seseorang itu kekal menjadi pemimpin dia mesti
juga mempunyai kuasa yang berunsurkan kebolehan tersendirinya. (Dr Robiah Sidin (1988).
2.0 CIRI-CIRI PERSONALITI YANG DIKAITKAN DENGAN SEORANG PEMIMPIN
Terdapat beberapa personaliti yang sering dikaitka dengan
seorang pemimpin. Personaliti berikut ialah;
• Keyakinan kendiri
Merujuk
kepada sejauh manakah individu itu berasa selesa dengan pertimbangan, keupayaan
dan kemahirannya. Individu yang tidak berkeyakinan tidak suka menanggung risiko
dan berasa tidak selesa apabila terpaksa membuat keputusan. Pemimpin yang
berkeyakinan lebih berjaya berbanding dengan pemimpin yang rendah keyakinan
kendiri.
• Bertanggungjawab
Individu
yang bertanggungjawab cenderung melaksanakan kerjaya dengan penuh hati-hati dan bersedia mematuhi
peraturan yang ditetapkan. Sifat ini sering dikaitkan dengan
kejayaan seseorang pemimpin.
• Penyesuaian
Merujuk
kepada ketahanan dan keupayaan emosi menghadapi tekanan, konflik, dan
kekecewaan. Pemimpin yang berupaya mengharungi rintangan-rintangan ini adalah
lebih berkesan mberbanding dengan pemimpin yang tidak boleh menyesuaikan diri
dalam keadaan tertekan
• Suka bergaul/ramah
Sifat
ini juga disebutkan sebagai penting dalam kejayaan kepemimpinan kerana orang
yang suka bergaul biasanya memperolehi banyak pengalaman dan mudah mempengaruhi
orang-orang dalam organisasinya.
• Dapat diterima
Merujuk
kepada sifat amanah, mudah bekerjasama, mesra, dan sopan. Orang seperti ini
mudah bekerjasama dengan orang lain. Manakala sifat orang yang sukar diterima,
biasanya tidak sabar, muram, syak wasangka, dan sukar bekerjasama dengan orang
lain.
• Berorientasi Pencapaian
Individu yang berorientasi pencapaian berusaha melaksanakan
tugas dengan jayanya kerana individu ini akan hanya berasa puas
jika ia beroleh kejayaan. Individu seperti ini cenderung bekerja keras,
bercita-cita tinggi dan suka persaingan. Manakala orang yang rendah orientasi
pencapaian adalah tidak bercita-cita tinggi, suka dengan keadaan yang sedia
ada, dan pasif serta usaha-usahanya adalah sedikit, kecuali jika ia dijanjikan
ganjaran ekstrinsik.
3.0 CIRI-CIRI YANG BAIK MENGIKUT PADANGAN TOKOH TERKEMUKA
Mengikut pandangan tokoh Islam daripada Al Mawardi menyatakan
bahawa seorang pemimpin perlu mempunyai sifat
seorang yang adil dalam memimpin pekerja di dalam organisasi tersebut.
Seorang pemimpin juga perlulah seorang yang berfikiran matang dan berani berijtihad dalam melakukan tugasnya.
Seorang pemimpin juga menurut Al Mawardi perlulah berpancaindera yang sempurna. Ianya juga perlu mempunyai ilmu agama
yang tinggi. Hal ini kerana dengan adanya ilmu agama yang tinggi secara tidak
langsung dapat mengelakkan seorang pemimpin daripada melakukan perkara yang mungkar
dan seorang pemimpin juga perlu mempunyai anggota
badan yang sempurna supaya boleh menguruskan pekerjaannya dengan sempurna.
(Ahmad Ibrahim Abu Sin, (1991).
Manakala menurut Imam Al-Ghazali menyatakan seorang
pemimpin perlulah seorang yang hidupnya dengan
cara sederna tidak terlalu membazir
dengan harta yang dimiliki olehnya. Seorang pemimpin juga perlulah melaksanakan kerja dengan tenang tanpa
merungut dengan pekerjaan yang dilakukanna. Dia juga harus cuba memuaskan semua pihak jika hal itu
tidak melanggar undang-undang dan peraturan. Seorang pemimpin juga menurut Imam
Al-Ghazali perlulah mempunyai sifat
kesedaran akan tanggungjawab besar jawatannya. Seorang pemimpin juga
perlulah seorang yang suka bersahabat
dengan para ilmuan dan mendengar arahan para ilmuan tersebut. Hal ini keran
supaya seorang pemimpin tersebut tidak melanggar undang-undang yang telah
digariskan dalam Islam ataupun tidak terpesong daripada landasan agama Islam
yang telah ditetapkan oleh syarak. (Ahmad Ibrahim Abu Sin, (1991).
Manakala menurut pandangan daripada tokoh barat iaitu Edwin Ghiselli menyatakan bahawa seorang
pemimpin perlulah mempunyai sifat kesungguhan dan keyakinan kepada diri sendiri. Tanpa sifat
kesungguhan dan keyakinan dalam diri sendiri boleh menyebabkan sesebuah
organisasi tidak akan berjalan dengan baik. Begitu juga dengan kecerdasan yang terlalu tinggi atau
kecerdasan yang terlalu rendah akan mengurangkan keberkesanan memimpin. (Mustafa
Hj. Daud, (1996).
Selain itu, menurut
pandangan tokoh Barat lainnya iaitu Ralph
M. Stogdill, seorang pemimpin perlulah bersifat kecerdasan dan kemampuan juga bijak, matang, mempunyai harta
sebagai modal supaya seorang pemimpin tersebut dapat menguruskan organisasinya
dengan baik. Seorang pemimpin juga perlu adanya sifat sosial iaitu dimana
mempunyai daya kerjasama, kemampuan berkomunikasi dan berkebolehan untuk
bermasyarakat. (Mustafa Hj. Daud, (1996).
Selain itu, seorang
pemimpin juga seharusnya mempunyai sifat keperibadian iaitu dimana
berkebolehan, agresif dan berkeyakinan tinggi dalam menjalankan tugas sebagai
seorang pemimpin. (Mustafa Hj. Daud, (1996).
4.0 PERANAN PEMIMPIN
Pemimpin diamanahkan untuk menerajui organisasi bagi
kepentingan semua ahli. Pemimpin dipilih dan dilantik kerana
kelebihan-kelebihan tertentunya yang dikira dapat membantu organisasi,
antaranya memainkan peranan-peranan penting mewakili organisasi. Oleh itu jelas
seseorang pemimpin memainkan beberapa peranan secara serentak. Peranan-peranan
berikut adalah seperti;
4.1 Sumber
rujukan: pemimpin berperanan sebagai pemberi maklumat
dan idea kepada ahli-ahli apabila diperlukan. Oleh itu pemimpin harus luas
pembacaannya, sentiasa mengikuti perkembangan, mempunyai hubungan yang luas,
banyak pengalaman dan rajin belajar
4.2 Model: sebagai model atau contoh,
pemimpin memperlihatkan sifat-sifat, tingkah laku dan kebolehan yang boleh
diteladani.
4.3 Pendorong: pemimpin juga harus
sentiasa meransang dan mendorong ahli-ahli dan rakan-rakan sepimpinannya untuk
membangun diri, meningkatkan komitmen dan terus gigih memberikan khidmat serta
subangan untuk kebaikan bersama.
4.4 Pembimbing: selaku pembimbing pemimpin
turut mendidik, menyokong dan membolehkan ahli berperanan dengan aktif. Belajar
memahami potensi dan bakat, minat dan kecenderungan, serta kekuatan dan kelemahan
ahli dan membantu mereka untuk menjadi ahli yang aktif dan menyumbang
4.5
Jurucakap/jurubicara: peranan ini menyerupai peranan “pegawai
perhubungan awam”. Iaitu berperanan
sebagai jurucakap atau wakil organisasi dalam perhubungan dengan pihak-pihak
luar.
4.6 Orang tengah: jika berlaku perbezaan
pendapat, konflik antara ahli-ahli pemimpin berperanan sebagai orang tengah
bagi mencari pendamaian. Bersikap adil dan tidak condong(bias) kepada
mana-mana pihak.
Disamping memainkan peranan-peranan seperti di atas, di
dalam sesuatu keadaan tertentu pemimpin juga turut berperanan sebagai pakar
(berdasarkan kemahiran dan pengelaman yang dimilikinya) guru, penyelaras,
mentor, kaunselor, ideologi, penilai dan sebagainya.
5.0 KEMAHIRAN-KEMAHIRAN YANG HARUS DIMILIKI PEMIMPIN
Setiap pemimpin perlu mempunyai pengetahuan dan beberapa
kemahiran asas, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan tugasnya dalam sesebuah
organisasi. Pengetahuan dan kemahiran yang dimaksudkan ialah pelbagai dan
antaranya ialah;
1) Bekerja Dengan Orang. Boleh berhubung dan
bekerja dengan orang, berbincang, mendengar
pandangan, merangsang ahli-ahli, menggalakkan ahli mengambil inisiatif
dan menyerlahkan bakat dan potensi mereka.
2) Kebolehan
Menganalisis. Kemampuan memahami dan menghuraikan sesuatu isu/persoalan
dari pelbagai sudut serta merumusnya. Dapat berfikir dengan menggunakan
berbagai-bagai teknik(kreatif/kritikal/lateral)
3)
Pengorganisasian/Penyusunan/Penggemblengan Tenaga. Memahami bagaimana
organisasi beroperasi, cara-cara yang sesuai dan berkesan untuk menggerakkan
tenaga-tenaga di dalam pertubuhan serta mendapatkan sokongan masyarakat.
4) Komunikasi. Dapat menyampaikan sesuatu denganbaik,
berhujah dengan meyakinkan dan merangsang ahli.
5)
Penggunaan Sumber. Tahu tentang kewujudan pelbagai sumber di dalam dan di
sekitar organisas (individu, kumpulan,budaya,agama), sedar tentang pelbagai
institusi dan pertubuhan di sekeliling dan dapat bekerjasama dengan mereka.
6) Mesyuarat. Menguruskan mesyuarat
dengan berkesan.
7) Penulisan. Boleh menulis ucapan,
kenyataan media, menyediakan cadangan dan laporan.
8) Kewangan. Tahu bagaimana mendapatkan wang yang
diperlukan pertubuhan, merangka belanjawan dan menguruskan dana.
9) Kajian/Penyelidikan. Tahu bagaimana melakukan
penyelidikan asas, faham kegunaan maklumat dan bagaimana mendapatkan maklumat
yang dikehendaki.
10) Isu. Dapat mengenal pasti isu-isu penting dan dapat menilai potensi
sesuatu isu bagi kepentingan organisasi.
11) Latihan. Tahu akan keperluanlatihan-latihan untuk
organisasi dan dapat mengendalikan latihan.
12) Penggunaan Teknologi. Tahu menggunakan
teknologi yang sesuai dan terkini bagi memudahkan kerja.
13)
Alat-alat Komunikasi. Pandai menggunakan alat-alat komunikasi yang asas
untuk pelbagai tugasan seperti internet, persidangan media, pembinaan kontrak
dan lln.
Walaupun kemahiran-kemahiran yang dinyatakan agak banyak,
ini tidak bererti seseorang pemimpin itu harus menguasainya. Namun mereka harus
berusaha menguasainya untuk kepentingan bersama terutamanya diri sendiri. Dalam
pada itu pemimpin juga seharusnya berkemahiran mengangihkan sesuatu tugas,
peranan dan bidang kerja tertentu kepada ahli-ahlinya.
6.0 PENUTUP
Kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh
menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara
tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif
orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian
matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada
kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.
Walaupun kepimpinan boleh dipelajari, tapi
tidak semua orang dapat menjadi pemimpin yang baik. Menjadi pemimpin yang baik
memerlukan kesabaran, kecekalan, pembelajaran yang berterusan, sikap cintakan
ilmu, penguasaan pelbagai kemahiran, disiplin diri yang tinggi, kesediaan untuk
menerima teguran juga kritikan dan sebagainya. Natijahnya seorang pemimpin
organisasi yang baik bukan sahaja bergantung kepada jawatan yang disandang
tetapi lebih kepada keupayaannya mengendalikan peranan-peranan dalam organisasi
dengan berkesan serta menguasai kemahiran-kemahiran yang dinyatakan dengan
baik.
7.0 RUJUKAN
Aminudin Moh. Yusof (1990). Kepimpinan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Alias Mohamed. (1984). Kepimpinan,
demokrasi dan tradisi. Kuala Lumpur: AMW Comunications Management.
Azizan Bahari. (2009). Menjadi pemimpin. Petaling
Jaya: Qarya Sdn. Bhd.
Dr Robiah Sidin
(1988). Asas Pentadbiran Pendidikan. Kuala
Lumpur:
Dewan Bahasa & Putaka.
Fatimah Wati Halim & Iran Herman, (1997). Hubungan Nilai Kerja,
Prestasi Kerja dan Kualiti Kehidupan Bekerja di Kalangan Pekerja Sektor Awam
& Swasta. Jurnal Psikologi Manusia. Bil 11:97-114
Mustafa Hj. Daud.
(1996). Pemimpin Mengikut Pandangan Tokoh Barat, (Terjemahan),
Kuala Lumpur: Utusan Publication &
Distibutors Sdn. Bhd.
Zainal Abidin
Mohamad. (1998). Pengurusan Strategik. Kuala Lumpur: Utusan
Distributian and Publication.
No comments:
Post a Comment